KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH
Di antara kelebihan dan kurnian Allah untuk hambaNya ialah di jadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan di janjikan pahala yang berganda banyaknya. Di antaranya:
Dari Ibnu Abbas, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini." Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasul bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid)." (H.R: Al-bukhari, Ahmad, At-tirmizi)
Firman Allah: (Maksudnya) :
"Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang di tentukan". (Al-Hajj:28).
Kata Ibn Abbas: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.
Dari Ibn Umar, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: (maksudnya):
"Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih di kasihi Allah dari hari-hari yang sepuluh ini.Maka perbanyakkan padanya bertahlil, bertakbir, bertahmid." (H.R Ahmad-soheh)
Kata Ibnu Hajar Asqalani: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah, dan haji.Pada waktu lain ibadah-ibadah ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
AMALAN-AMALAN YANG BAIK DI LAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:
1. SOLAT.
Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu(berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan.Thauban berkata: "Aku mendengar Rasulullah bersabda: (maksudnya) : "Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepadaNya, Allah akan angkatkan darjatmu kepadaNya dan di hapuskan kesalahanmu." (H.R Muslim).- Ini umum untuk semua waktu.
2.PUASA.
Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh.Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari di sebahagian isteri-isteri rasulullah berkata: "Rasulullah berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura, dan tiga hari pada setiap bulan.(H.R Ahmad, Abu Daud, Nasa’ei).-Kata imam Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang digalakkan.
3. TAKBIR, TAHLIL, TAHMID.
Berdasarkan hadith Ibn Umar di atas. Kata Imam Bukhari: "Ibnu Umar dan Abu Hurairah menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir.Apabila orang ramai mendengarnya, mereka turut bertakbir sama" – sehingga Mina riuh dengan suara takbir. - Ibnu Umar bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis, dan di semua tempat.Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Ibnu Umar dan Abu Hurairah. Adalah patut sekali para Muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah di lupakan pada hari ini.
4. PUASA PADA HARI ARAFAH
(Di sunatkan bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji, bagi yang mengerjakan haji tidak di sunatkan kerana Rasulullah tidak berpuasa sewaktu baginda wukuf di Arafah) Maka hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana Rasulullah telah bersabda mengenai kelebihannya yang bemaksud: "Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang"
5.HARI RAYA KORBAN (yaum an nahr-10 Zulhijjah)
Kebanyakkan umat Islam kini telah lupa akan kelebihan hari ini.Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia.Sesetengah Ulama’ berpendapat hari ini merupakan hari yang paling afdhal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Sabda Rasul yang bermaksud: "Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar-(hari para haji bermalam di Mina pada hari kesebelas Zulhijjah). (H.R Abi Daud).
Sesetengah Ulama’ pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hambaNya dari neraka lebih ramai dari hari Arafah dan pada hari itu juga Allah turun menghampiri hambaNya dan berbangga kepada malaikat dengan hambanya yang berwukuf pada hari tersebut.
Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (hari Nahr) berdasarkan hadith yang menyebut kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.Samada hari Nahr atau Arafah, yang lebih utama hendaklah setiapmuslim yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat kepadaNya.
CARA MENYAMBUT MUSIM KEBAJIKAN:
1. Setiap muslim hendaklah menyambut musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari AllahTaala.
2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah.Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad (untuk mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan kami.Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat kebaikan." (Al-Ankabut:69). Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita di pilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.
KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment